Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam
kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula
berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (surah al-Asr:1-3)
Kata Imam al-Syafi’i rahimahullah: “Jikalaulah Allah
tidak menurunkan al-Quran melainkan surah ini, nescaya ia sudah cukup untuk
mereka.” Ungkapan padu daripada beliau menggambarkan bahawa surah pendek ini
memberikan keseluruhan konsep tentang kehidupan dan hala tujunya.
Insan yang disebutkan pada ayat kedua menunjukkan bahawa konsep
masa ini tertakluk pada setiap manusia, tidak kira tempe (orang tempatan India)
mahupun pelajar MIT, MMMC atau KMC. Tidak hairanlah bahawa setiap orang pasti
memiliki jam tangan, paling koman pun jam digital di telefon bimbit-
menunjukkan bahawa betapa signifikannnya masa untuk kita. Masa juga mempunyai
sistem yang teratur, dibahagikan kepada tahun, minggu, hari dan jam. Namun
begitu, realitinya kita selalu mengadu tak cukup masa dan ada kalanya menzalimi
hak-hak manusia kerana masa.
Apakah yang dimaksudkan dengan manusia dalam kerugian?
Perkataan al-Asr sendiri bermaksud masa-masa terakhir,
yang tersisa. Pendapat mujtahid lain adalah waktu Asar atau era kegemilangan
sewaktu Nabi Muhammad s.a.w. Wujudnya masa membolehkan kita melihat
perubahan-perubahan yang berlaku pada tamadun manusia dan yang paling hebat
adalah pertukaran alam dari malam kepada siang, musim panas kepada musim luruh,
Syaaban kepada Ramadan.
Oleh itu, kita sepatutnya mempelajari sirah/sejarah
bagi melihat era hidup manusia yang panjang, turun naiknya serta konsep untung
dan rugi yang dinyatakan Allah dalam surah ini. Mari kita naik mesin masa,
mengembara ke zaman Mekah sebelum Rasulullah s.a.w diutuskan. Masyarakat Mekah
pada itu bertuhankan nafsu, berhala, nenek moyang dan harta. Berlaku banyak
penindasan terutamanya kerana kepentingan suku dan keturunan, seperti yang kita
tahu inilah yang dikatakan zaman jahiliyah. Akhirnya, datang Rasulullah s.a.w
membawa keuntungan yang paling besar dalam kehidupan ummat sehingga
sekarang. Rahmat Allah meliputi kehidupan manusia sehingga beratus-ratus tahun
dan mereka menikmati kejujuran, keadilan dan keharmonian dengan sistem Islam
yang syumul. Rugilah mereka yang tidak menyambut tawaran yang paling berharga
daripada Allah sendiri bagi menyelamatkan diri daripada tipu daya syaitan dan
api neraka. Jadi, kita tergolong dalam kumpulan yang mana satu?
Formula untung ini tak terdapat dalam
mana-mana buku ekonomi dan bisnes. Beruntungnya kita sebagai Muslim diberi
akses penuh kepada ilmu al-Quran yang mampu mengubah kehidupan kita 180 darjah.
Langkah-langkah untuk keluar daripada kerugiaan ini adalah:
1) Beriman kepada Allah
2) Beramal soleh
3) Berpesan kepada kebenaran dan kesabaran
Iman yang kita bicarakan ini bukan iman hafalan, bacaan
ataupun ikutan. Iman ini manifestasinya adalah amal yang dinamik dan mengubah
diri kita menjadi lebih baik. Matlamat orang-orang yang beriman sangat jelas,
sangat-sangat menginginkan apa yang Allah redha lalu datanglah perintah Allah
untuk beramal soleh. Amal-amal soleh kita bukan sahaja meliputi solat dan puasa
malah melibatkan hubungan dengan manusia sekeliling kita. Di situ lahirnya
tanggungjawah untuk kita at-tawaasi (menasihati) antara satu sama lain dalam hal
al-haq (kebenaran) dan al-sobr (kesabaran). Sinergi ini terbukti mampu
menghasilkan ummah yang terbaik dalam pelbagai bidang ilmu seperti Ibn Sina dan
al-Khawarizmi. Bukan itu sahaja, hadirnya Islam di bumi Taj Mahal ini juga
adalah hasil keimanan mujahid yang mengembara bagi menyebarkan risalah agung
ini.
Pemuda sebelum warga emas!
Hebatnya masa ciptaan Allah, setiap detik mampu menaikkan
iman selagi kita memaksimumkan penggunaannya dengan neraca Allah. Jadi tidak
hairanlah jika adalah manusia yang merasakan bahawa masanya sangat pendek dan
ada pula yang mampu melakukan banyak perkara dalam masa yang singkat. Sebagai
pemuda, kita seharusnya memanfaatkan waktu ini bagi melaksanakan tanggungjawab
membangkitkan kembali kegemilangan Islam dan tidak pernah redha dengan
kezaliman dan kebatilan yang berleluasa.
“Tidak akan tergelincir dua kaki anak Adam
pada hari kiamat hingga ia ditanya tentang empat perkara:
tentang usianya untuk apa ia habiskan, masa mudanya untuk apa ia habiskan,
hartanya dari mana ia peroleh dan ke mana ia belanjakan, dan tentang ilmunya- apa yang diperbuatkan dengan ilmunya
tersebut”.
(HR. Al-Bazzar dan Al-Thabrani).
Artikel ini disiarkan di HAQ.
0 Comments