Ayam masak kicap Khairul Aming dan resipi influencer terkenal

Hidangan ayam masak kicap antara resipi mudah yang Rin selalu masak di rumah untuk keluarga selain daripada ikan singgang, tomyam sayur dan sup ayam. Lauk ayam masak kicap mudah dan sesuai untuk diet suku suku separuh (DSSS) sebab Rin dah olah supaya kurang minyak, jadi kuranglah kalori dalam hidangan kita. 

Cuma syaratnya kena ada air fryer. Sekarang dah mudah sebab banyak air fryer dijual di Shopee, harga pun mampu milik. Kalau belum ada air fryer lagi, boleh goreng ayam macam biasa. Rin kepilkan juga resipi influencer terkenal ayam masak kicap tanpa goreng!

ayam masak kicap


Resepi ayam masak kicap influencer 

Ayam masak kicap berkuah Khairul Aming 

Bahan-bahan:

1/2 ekor ayam 
Serbuk kunyit 
sedikit garam 

Bahan kisar:
4 biji bawang merah merah
7 ulas bawang putih 

Bahan tumis:
3 tangkai daun kari
2 batang serai
2 sudu besar sos tiram 
6-8 sudu besar kicap manis pedas

Sambal tumbuk:
Cili merah dan hijau 
Bawang putih 

Cara-cara:
  • Potong ayam kepada bahagian yang lebih kecil dan gaul dengan serbuk kunyit dan sedikit garam. Masak di dalam air fryer pada suhu 180℃ selama 15minit. Balik-balikkan ayam pada minit ke-7. Kita nak ayam masak 80% sahaja supaya tak terlalu kering.
  • Sementara tunggu ayam masak, boleh sediakan tumisan kicap. Kisar bawang merah dan bawang putih.
  • Tumis bahan kisar dengan minyak secukupnya dan masukkan daun kari dan serai.
  • Bila bahan tumis dah sedikit perang, masukkan sos tiram dan kicap manis pedas. Boleh rasa dulu sebelum kurangkan atau tambah lagi kicap. Reneh sehingga rasa karamel terbit.
  • Gaul ayam ke dalam bahan tumis kicap dan biarkan ayam  masak sepenuhnya
  • Untuk sambal tumbuk, goreng cili dan bawang putih. Lepas tu boleh tumbuk hingga separa lumat. 
Baca juga:
@khairulaming

Housemates korang pernah masak tak ayam kicap dengan telur dadar ni? Sedap wehh. Nak lagi sedap suruh housemate korang je masak 😁 #makanlokal #ayammasakkicap #telurdadar #menubujang #menusimple

♬ original sound - Khairulaming - Khairulaming

Ayam masak kicap pedas Khairul Aming  

Bahan-bahan:

1/2 ekor ayam 
Serbuk kunyit 
Sedikit garam 

Bahan kisar:
4 biji bawang merah merah 
7 ulas bawang putih 
6 biji cili padi 

3 tangkai daun kari 
2 batang serai
2 sudu sos tiram 
6-8 sudu kicap manis pedas 

Sambal Tumbuk:
Cili padi merah dan hijau 
Bawang putih 

Cara-cara: 
  • Goreng ayam menggunakan kaedah biasa atau air fryer 
  • Tumiskan bahan kisar hingga sedikit garing dan kering 
  • Masukkan daun kari, serai, sos tiram dan kicap manis pedas 
  • Campurkan ayam dan gaul sebati
  • Goreng cili bersama bawang putih hingga sedikit layu, tumbuk kasar dan hidang bersama ayam

Ayam masak kicap berempah Khairul Abdullah @ Superdaddy

Bahan-bahan:

Bahan perap:
8-10 ketul ayam 
serbuk kunyit dan sedikit garam

Bahan tumis:

3 ulas bawang putih
1 inci halia dihiris
1 batang kayu manis
2 kuntum bunga lawang
2 tangkai daun kari
1 sudu besar rempah kari daging 
1 sudu besar cili giling 
1/4 cawan kicap lemak manis 
2 sudu besar sos tiram
Sedikit air

Bahan sampingan:
1 biji tomato
1 biji bawang besar
1 biji cili merah

Baca juga: Sotong masak kicap 

Cara-cara:
  • Proses menggoreng ayam digantikan dengan kaedah air fryer seperti yang Rin kongsikan di atas. Kalau belum ada air fryer boleh goreng macam biasa. 
  • Tumis kayu manis, bunga lawang, daun kari, bawang putih dan halia. Masukkan cili giling dan rempah kari, tumis hingga pecah minyak. 
  • Masukkan sos tiram dan sedikit air lalu direneh. Selepas itu masukkan kicap dan ayam.
  • Kemudian masukkan bawang besar dan cili merah yang telah dihiris. Gaul sebentar dan campurkan tomato yang dibelah lapan. Tambahkan sedikit air jika mahu lebih kuah. 

Ayam kicap ala mamak Khairul Hakimin Muhammad

Bahan perap:
1 ekor ayam 
2-3 sudu besar serbuk kunyit
Sedikit garam 

Bahan kisar:
15 ulas bawang merah kecil
2 inci kunyit hidup
3 biji cili merah besar
3 sudu besar cili boh
1 batang serai
2 inci halia
1 sudu kecil biji ketumbar

Bahan tumis:
1 sudu kecil ketumbar
1 sudu kecil lada hitam
5 ulas bawang merah 
2 batang kayu manis
2 kuntum bunga lawang
1 tangkai daun kari

Beberapa sudu kicap pekat 
Beberapa sudu kicap manis
Sedikit gula kabong atau gula melaka
Sedikit garam.
 
Cara-cara:
  • Ayam disediakan menggunakan air fryer terlebih dahulu
  • Panaskan api dan masukkan bahan tumis dimulakan dengan bawang merah yang telah dihiris halus diikuti dengan bahan lain. 
  • Masukkan bahan kisar dan masak hingga pecah minyak
  • Masukkan kicap pekat dan kicap manis hingga warna kuah sedikit gelap. Selepas itu masukkan gula dan garam. Boleh gaulkan kuah kicap dengan ayam goreng tadi. 

Resipi ayam masak kicap tanpa goreng

Ayam masak kicap simple Dr Kamarul Ariffin

Bahan-bahan:

Setengah ekor ayam
1 tangkai cili merah
1 tangkai cili hijau
5 ulas bawang putih
5 biji bawang merah ros
1 inci halia
3-4 sudu besar kicap lemak manis
2 sudu besar sos tomato
2 sudu besar sos cili

Bahan sampingan:
Bawang holland 
Daun bawang 

Cara-cara:
  • Tumis cili merah, cili hijau, bawang putih, bawang merah dan halia yang dah dihiris halus hingga naik bau
  • Masukkan ayam yang dah dipotong kecil ke dalam kuali dan tumis hingga kekuningan
  • Masukkan kicap lemak manis, sos tomato dan sos cili dan gaul rata dengan api besar sehingga ayam masak dan kuah sedikit pekat/kering.
  • Taburkan hirisan bawang holland dan daun bawang. 

Ayam masak kicap Chinese Style Kak Yan 

Bahan-bahan:

1 ekor ayam 
4 inci halia muda
6 tangkai cili kering
6 tangkai daun bawang
8 sb minyak
2 biji bunga lawang
2 batang kayu manis

4 sb kicap pekat
4 sb kicap cair
4 sb sos tiram
2 sb gula perang
4 sk minyak bijan
Sedikit lada sulah 
Air bancuhan tepung jagung 
Air 

Cara-cara:
  • Tumiskan halia, cili kering dan daun bawang. Masukkan juga kulit kayu manis dan bunga lawang
  • Selepas itu tambah air, kicap cair, kicap pekat, sos tiram dan minyak bijan
  • Perasakan dengan gula perang, lada sulah dan biarkan mendidih
  • Masukkan ayam dan reneh hingga lembut. 
  • Campur dengan air bancuhan tepung jagung untuk kuah yang lebih pekat. 
Nota:
  • Jika nak masukkan kentang, boleh juga dibakar di dalam air fryer pada suhu 180℃ selama 15 minit sebelum di campur ke dalam ayam masak kicap.


Penggunaan air fryer dalam masakan 

Kalori hidangan 

Kalori ayam masak kicap untuk 1 hidangan iaitu 90gram ialah 215kcal. Jika kurang penggunaan minyak, kalori akan sedikit rendah. Dengan air fryer, penggunaan minyak dapat dikurangkan kepada 70-80%. 

Kelebihan air fryer 

  • Masakan tiada minyak dan kurang minyak 
  • Masa memasak lebih cepat 
  • Kurang percikan minyak dan mengurangkan usaha mengemas 
  • Kurang panas berbanding oven 
  • Mudah dioperasikan kerana menggunakan sistem analog atau digital 
  • Pelbagai guna bukan hanya untuk panggang malah boleh bakar kek 

Adakah air fryer menyebabkan kanser?

Berita tentang air fryer dan kanser tidak lagi asing namun begitu banyak faktor yang menyebabkan penghasilan bahan kimia punca kanser (karsinogen) iaitu suhu dan bahan masakan. Suhu yang tinggi dapat menghasilkan karsinogen seperti acrylamide, polycyclic aromatic hydrocarbons dan heterocyclic amines. Ini juga terjadi pada proses memasak yang lain seperti menggoreng, memanggang dan membakar. Kaedah yang betul ialah apa-apa proses memasak tidak perlu terlalu lama hingga bertukar warna terlalu gelap dan ada bahagian yang hangus.

Proses pembuatan kicap 

1. Persiapan Bahan: Bahan utama yang digunakan dalam pembuatan kicap adalah kacang soya atau bijirin. Bahan ini digoreng sehingga menjadi kering dan kemudian dihancurkan menjadi tepung atau dihaluskan.

2. Pencampuran dan Penapaian: Tepung kacang soya atau bijirin tersebut dicampurkan dengan air garam dan beberapa bahan lain seperti gula, ragi, dan sebagainya. Campuran ini kemudian diperam dalam tong atau bekas tertutup selama beberapa bulan, biasanya 5 hingga 8 bulan, atau lebih lama. Proses penapaian ini penting untuk menghasilkan rasa dan aroma kicap yang kaya.

3. Penapisan dan Penyulingan: Selepas proses penapaian, campuran tadi disaring dan diambil airnya, yang merupakan kicap cair. Bagi menghasilkan kicap pekat, air kicap ini akan dimasak dan direbus sehingga sebahagian air menguap dan meninggalkan kicap yang pekat.

4. Penyesuaian Rasa: Dalam beberapa kes, rasa kicap mungkin perlu disesuaikan dengan menambah atau mengurangkan bahan-bahan tertentu seperti garam atau gula untuk mendapatkan cita rasa yang diingini.

Proses pembuatan kicap ini memerlukan kepandaian dan kemahiran dalam mengadun bahan-bahan, serta ketelitian dalam menjaga kebersihan dan kestabilan proses. Hasil akhirnya adalah kicap yang enak dan bermutu tinggi yang boleh digunakan dalam pelbagai jenis masakan. 

Kicap mengandungi nutrisi seperti vitamin dan antioksidan. Kandungan monosodium glutamate (MSG) yang terhasil dari proses penapaian memberi rasa umami pada kicap.  Kalori 1 sudu besar kicap adalah sekitar 33kcal. 

Senarai Kicap dan Sos Tiram Halal dan Sedap

Berikut adalah senarai kicap dan sos tiram yang famous di Malaysia:
  1. Kicap Cap Kipas Udang
  2. Kicap ABC Manis Pedas
  3. Kicap Adabi
  4. Kicap Jalen 
  5. Kicap Mahsuri Manis Pedas
  6. Sos Tiram Lee Kum Kee
  7. Sos Perisa Tiram Adabi 
  8. Sos Perisa Tiram Mahsuri 
Bagi yang inginkan kicap sihat kurang sodium (garam) boleh memilih jenama ini:
  1. Love Earth Light Soy Sauce 
  2. Love Earth Organic Baby Light Soy Sauce 

Jenis-jenis sos tiram di pasaran

Sos tiram 

Mengandungi ekstrak tiram lebih dari 10%, contoh jenama ialah Sos Tiram Panda Lee Kum Kee

Sos perisa tiram 

Ekstrak tiram kurang daripada 5% dan mempunyai rasa yang sederhana. Kebanyakan jenama seperti Adabi, Maggie ialah sos perisa tiram. 

Sos tiram premium 

Mengandungi 40% ekstrak tiram dan rasa tiram yang kuat, contoh jenama Sos Tiram Premium Lee Kum Kee. 

Sos tiram tiruan sayuran

Diganti dengan serbuk cendawan dan perisa sesuai untuk vegetarian. 

Sos berperisa tiram ekonomi 

Hampir tiada ekstrak tiram, hanya kicap, perasa dan pemekat sahaja. Dijual dalam tong besar dan murah, contoh jenama Puteri. 

Kedai ayam masak kicap viral

Nasi Ayam Kicap 3 Budak Gemok 

Alamat: Market, B5 Johor Street, Taman Tampoi, 81200 Johor Bahru, Johor
Waktu operasi: 11.30 pagi hingga 9.00 malam 

Nasi Ayam Kee Chup

Lokasi: 24A, Jalan Dato Dalam, Bandar Johor Bahru, 80000 Johor Bahru, Johor
Waktu operasi: 11.00 pagi hingga 4.00 petang 

Keycap's 

Lokasi: Food Valet, Keycaps, Kampung Sungai Ramal, 43000 Kajang, Selangor
Waktu operasi: 11.00 pagi hingga 11.00 malam 

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Boleh cuba resipi begini.
    Biasanya saya hanya gunakan air fryer untuk memanggang saja.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Alhamdulillah gembira dapat kongsi tips ni.. kak Amie lagi power memasak dari saya hehe

      Padam

Close Menu