Coklat: Kenali perbezaan coklat masakan dan destinasi menarik penggemar coklat

Siapa pernah terjebak buat coklat ala Royce Khairul Aming yang simple guna 4 bahan sahaja masa bulan puasa hari tu? Nampak sedap dan mewah coklat yang KA buat walaupun homemade. Namun begitu kalau salah pilih coklat masakan susah nak dapat hasil "coklat B40" yang macam Khairul Aming buat tu. Jom belajar tentang coklat!

coklat



Coklat

Asal usul coklat


Coklat adalah sejenis manisan yang terbuat daripada biji koko yang diproses dari pokok Theobroma cacao. Biji koko dikeringkan lalu dipanggang. Proses penggilingan biji koko menghasilkan massa koko yang juga dikenali sebagai "cocoa liquor", lemak koko dan pepejal koko. 

Pepejal koko diproses lalu menjadi serbuk koko. Massa koko dan lemak koko selalunya diproses menjadi bar coklat atau callets digunakan dalam masakan atau dimakan terus setelah dicampur gula, susu, lecithin, perisa vanilla ataupun kekacang. 

Baca juga: 
Asal usul coklat boleh dikesan kembali ke zaman purba di Amerika Tengah, di mana suku Maya dan Aztec telah menggunakan biji koko untuk membuat minuman khas mereka. 

Apabila penjelajah Eropah tiba di Amerika, mereka membawa biji koko pulang ke Eropah pada abad ke-16. 

Pada awalnya, coklat di Eropah hanya diminum sebagai minuman tetapi kemudian dengan penemuan cara untuk mengendalikan coklat sebagai pepejal, coklat mula digunakan dalam pelbagai bentuk seperti coklat batang dan coklat masakan.

Penjajah Eropah memperkenalkan koko ke Malaysia dan wujudnya banyak ladang koko di sini. Malaysia merupakan pengeluar utama koko di pasaran dunia. 

Jenis-jenis coklat masakan





Terdapat beberapa jenis coklat masakan yang biasanya digunakan dalam penyediaan kek, biskut dan pelbagai jenis pencuci mulut. Berikut adalah beberapa jenis coklat masakan yang lazim dijumpai:

Jenis coklat

Kegunaan

Coklat tulen/Couverture

(Pepejal koko dan lemak koko)

Lebih mahal, berkualiti tinggi dan rumit untuk dikendalikan. Dicairkan untuk menyaluti biskut, buah, marshmallow. Digunakan untuk menghasilkan praline, truffle.  

Coklat masakan/Compound

(Serbuk koko, gula, lemak sayuran)

Terdapat dalam bentuk bar atau coins. Lebih murah, keras dan stabil. Sesuai untuk pembuatan kek, coklat ganache, biskut, gula-gula.

Cip Coklat

(Serbuk koko, gula, lemak sayuran)

Lebih tinggi gula daripada lemak sayuran untuk tidak mudah cair bila dibakar di dalam biskut, kek.

Cocoa Nibs

(Biji koko mentah yang dipanggang lalu ditumbuk kecil)

Rasa seakan coklat kekacang yang lebih pahit dan tidak manis. Digunakan dalam kek dan biskut.

Serbuk koko

(Hasil perahan biji koko yang dikeringkan dan diproses menjadi serbuk)

Terdapat 2 jenis serbuk koko iaitu semulajadi (acidic) dan "dutched" (neutral). Digunakan dalam pembuatan kek dan minuman coklat.


Setelah kita tahu perbezaan jenis coklat di pasaran, setiap jenis di atas terbahagi pula kepada beberapa perisa mengikut kandungan koko di dalamnya seperti coklat gelap dan coklat susu.

Perisa coklat dan kandungan koko

Peratusan koko dibawah mewakili komponen massa koko, lemak koko dan pepejal koko di dalam coklat. Semakin tinggi peratusan koko, semakin pahit dan deep rasa coklat dalam dessert kita. 

Coklat yang lebih pahit digunakan jika adunan akan dicampur bahan lain yang lebih manis untuk menyeimbangkan rasa hidangan. 




Perisa coklat di bawah tersedia untuk coklat masakan dan coklat yang sedia untuk dimakan yang biasa terdapat di pasaran.

Secara umumnya coklat gelap mempunyai sedikit tambahan gula, namun begitu terdapat juga pilihan "unsweetened" dark chocolate bagi yang mementingkan kesihatan. Yang penting baca isi kandungan sebelum pilih coklat. 

Perisa coklat

Kandungan

Serbuk koko unsweetened

100% koko

Coklat gelap

70-90% koko, gula

Coklat bittersweet

65% koko, gula

Coklat semisweet

50-60% koko, gula

Coklat susu

20-30% koko, gula, susu

Coklat putih

Lemak koko, gula, susu


Perbezaan serbuk koko dan serbuk coklat 


Serbuk koko dan serbuk coklat adalah dua bahan yang sering digunakan dalam masakan dan pembuatan pencuci mulut. Walau pun mereka kedengaran serupa, terdapat perbezaan penting di antara mereka.

Serbuk koko diperoleh dari biji koko yang dipanggang, dikisar, dan diasingkan daripada lemaknya. Ia mempunyai cita rasa pahit dan pekat, serta warna gelap. 

Serbuk koko digunakan untuk membuat minuman coklat panas, kek coklat, dan pelbagai jenis pencuci mulut. Ia juga boleh digunakan dalam adunan untuk memberi rasa coklat pada hidangan.

Di sisi lain, serbuk coklat merujuk kepada campuran serbuk koko bersama gula dan mungkin juga lemak. Serbuk coklat cenderung mempunyai cita rasa manis dan lebih ringan dari segi warna berbanding serbuk koko. Ia digunakan dalam produk seperti minuman coklat segera, pencuci mulut, dan adunan untuk kek atau biskut.

Jadi, perbezaan utama antara serbuk koko dan serbuk coklat terletak pada asal-usul, rasa, dan kegunaan mereka dalam masakan dan produk makanan.

Resipi Coklat ala Royce Khairul Aming

Bahan-bahan:

1 1/2 cawan whipping cream 
350g bitterweet chocolate 
50g unsalted butter 
Serbuk koko

Cara-cara:
  • Panaskan whipping cream bersama unsalted butter hingga cair
  • Tuang adunan whipping cream yang panas ke dalam coklat di dalam bekas dan kacau hingga semua coklat cair dan sebati. 
  • Alas loyang dengan baking paper dan tuang adunan coklat. Hentak sedikit untuk keluarkan gelembung udara
  • Sejukkan di dalam peti ais selama 4-5 jam 
  • Potong kecil dan taburkan serbuk koko. 
@khairulaming

Puasa ke-14 : Chocolate ala ROYCE. Senang sangat nak buat sebab pakai 4 bahan je 😭 Tolong la buat sebab sedap sangat. Untuk resepi hari ni aku nak ajak @azfarheri @kemey @fathihussein untuk cuba resepi ni. Kalau korang ada buat video masak jangan lupa guna hashtag #InspirasiRamadan #BukaPuasa okehh 😁😁

♬ original sound - Khairulaming - Khairulaming



Kebaikan coklat dan kandungan kimia dalam coklat

Flavanol

Flavanol adalah sejenis antioksidan yang terdapat dalam coklat gelap. Ia membantu melindungi sel-sel daripada kerosakan oksidatif dan boleh meningkatkan fungsi pembuluh darah serta membantu menurunkan tekanan darah.

Teobromin

Teobromin adalah bahan kimia dalam coklat yang memberikan rasa rangsangan dan memberi manfaat kepada sistem kardiovaskular dengan membantu melonggarkan pembuluh darah dan meningkatkan aliran darah.

Serotonin

Coklat mengandungi serotonin, sejenis bahan kimia yang boleh meningkatkan perasaan gembira dan mengurangkan tekanan serta kegelisahan.

Feniletilamina

Bahan kimia ini dapat meningkatkan perasaan senang dan euforia dalam otak, memberikan sensasi positif.

Zink

Coklat mengandungi zink, sejenis mineral yang penting untuk sistem imun dan pemulihan tisu tubuh.

Magnesium

Coklat juga mengandungi magnesium, yang penting untuk fungsi otot, jantung, dan sistem saraf.

Zat besi

Kandungan zat besi dalam coklat membantu dalam pengangkutan oksigen dalam darah dan kesihatan sel darah merah.

Serat

Coklat hitam yang tinggi kandungan biji koko dapat menyumbangkan kepada pengambilan serat, yang penting untuk pencernaan yang sihat.

Walaupun terdapat manfaat-manfaat ini, penting untuk mengambil coklat dalam jumlah sederhana. Digalakkan ambil coklat gelap dengan kandungan koko yang lebih tinggi, untuk mendapatkan manfaat kesihatan tanpa mengabaikan pengambilan kalori dan gula yang berlebihan.

Jenama coklat terkenal 

Jenis-jenis coklat komersial yang popular di pasaran sudah tentu coklat susu seperti coklat Cadbury, Hershey's dan Kit Kat. Namun begitu bagi yang mementingkan kesihatan, dark chocolate, semi-sweet atau bittersweet menjadi pilihan utama ketika membeli coklat. 

Walaupun rasanya pahit, kebanyakan pengeluar telah menghasilkan resipi coklat yang sedap berlemak dan enjoy untuk dinikmati lagi-lagi bila dicampur dengan kekacang dan buah kering. 

Tips memilih coklat yang Halal/Muslim-friendly

  • Selain logo halal JAKIM, logo halal yang diperakui oleh JAKIM di luar negara juga boleh diterima. Ada lebih 80 badan pensijilan halal luar negara yang terlibat. Rujukan Portal Halal Malaysia
  • Jika tiada logo halal, semak jika coklat dilabel sebagai sesuai untuk vegetarian/vegan. Dengan ini kita dapat tahu bahawa sumber bahan penstabil adalah daripada tumbuhan seperti soya. 
  • Baca senarai kandungan dan beri tumpuan kepada bahan tambahan seperti perisa/alkohol, gelatin, lecithin, gliserin/gliserol dan glyserides. Gunakan Google Translate jika ia ditulis dalam bahasa asing.
  • Pilih coklat yang mengandungi senarai kandungan yang paling ringkas dan sedikit.

Jenama coklat terkenal

Negara Pengeluar

Cadbury

UK

Kit Kat

Switzerland

Ferrero Rocher

Itali

Toblerone

Switzerland

Hershey's

US

Lindt

Switzerland

Ritter Sport

Jerman

Milka

Switzerland

Mars

US

NestlΓ©

Switzerland

Kinder

Itali

Beryl's

Malaysia

Choki-Choki

Indonesia

Royce

Jepun

Daim

Sweden


Destinasi Menarik Penggemar Coklat

Coklat Langkawi Haji Ismail Group (HIG) Chocolate Outlet

Alamat: No. 23, 25 & 27, Jalan Pandak Mayah 6, Pusat Bandar Kuah, 07000 Pulau Langkawi, Kedah
Waktu operasi: 9.30 pagi hingga 6.30 petang, Cuti Jumaat 

HIG Chocolate Outlet menawarkan pelbagai jenama coklat dan produk-produk kraf tangan tempatan dengan harga yang lebih berpatutan. Anda juga boleh menjumpai pelbagai jenis barangan coklat di sini.

Billion Duty Free Supermarket

Alamat: Kuah, Persiaran Putera, 07000 Langkawi, Kedah
Waktu operasi: 9.00 pagi hingga 10.00 malam 

Berada di Langkawi Fair Shopping Mall, Billion merupakan tempat membeli-belah yang popular di Malaysia menawarkan bermacam jenis coklat sedap dengan harga yang berpatutan. 

Coco Valley

Alamat: Underwater World, Pantai Cenang, 07000 Langkawi, Kedah
Waktu operasi: 10.00 pagi hingga 7.00 petang 

Terletak di Pantai Cenang, Coco Valley adalah sebuah butik coklat yang menawarkan pelbagai jenis coklat dan produk berasaskan coklat, seperti biskut coklat dan hiasan coklat, dengan harga yang berpatutan.

Kredit Lemon8 elaineys


Aktiviti cuti sekolah di Muzium Coklat

Muzium Coklat di Malaysia adalah destinasi menarik yang memberikan maklumat dan pengalaman interaktif tentang sejarah, proses pengeluaran, dan pelbagai aspek yang berkaitan dengan coklat. 

Selain lawatan sambil belajar, ada juga kelas pembuatan coklat dan lebih 100 jenis coklat untuk dibeli. Boleh walk-in jika tidak lebih dari 10 orang. 

Alamat: 2, Jalan Teknologi 3/5, Kota Damansara, 47810 Petaling Jaya, Selangor
Waktu operasi: 10.00 pagi hingga 4.30 petang 
No telefon: 03-7490 4260

Harga Tiket Muzium 1 : Percuma 

Harga Tiket Muzium 2:
  • Dewasa RM5 
  • Kanak-kanak RM3
  • Tadika RM2
  • Kanak-kanak bawah 3 tahun dan OKU Percuma 

Lawatan Sambil Belajar Kilang Coklat Beryl's

Coklat Beryl's adalah jenama coklat yang terkenal di Malaysia, dan ia memiliki sejarah yang menarik dalam industri coklat di negara ini. Beryl's Chocolate & Confectionery Sdn Bhd, yang lebih dikenali sebagai Beryl's, ditubuhkan pada tahun 1995 di Malaysia. Ia bermula sebagai sebuah perusahaan kecil yang menghasilkan coklat dengan tenaga kerja yang terhad. 

Sejak penubuhannya, Beryl's telah berkembang dengan pesat dan mendapat tempat di pasaran coklat tempatan dan antarabangsa. Jenama ini terkenal dengan pelbagai jenis produk coklat berkualiti tinggi dan kreatif yang diproses di Malaysia. 

Lawatan sambil belajar ke kilang Beryl's dibuka untuk orang awam untuk belajar tentang sejarah dan proses pembuatan coklat di galeri. 

Alamat: 2, 1, Jalan Raya 7, Kawasan Perindustrian Seri Kembangan, 43300 Seri Kembangan, Selangor
Waktu operasi: 8.30 pagi hingga 5.00 petang

Waktu lawatan: Isnin hingga Sabtu 
  • Sesi Pagi: 8.30am – 11.15am
  • Lunch Break: 12.00noon – 1.00pm
  • Sesi petang : 1.30pm – 3.30pm

Tiket Masuk: Percuma 



Borong Coklat di Beryl's Wonderland Seri Kembangan 

Bersebelahan dengan kilang, jangan lupa singgah Wonderland untuk membeli-belah di factory outlet dan nikmati aiskrim dan minuman coklat di kafe mereka. Boleh OOTD dengan replika menarik dan hiasan coklat. Wonderland dibuka untuk orang ramai berkunjung ke sini tanpa sebarang bayaran masuk. 

Alamat: 10, Jalan 7/1, Kawasan Perindustrian Seri Kembangan, 43300 Seri Kembangan, Selangor
Waktu operasi: 8.30 pagi hingga 5.30 petang 
No telefon: 012-310 3563


@narissarose_

Sekali sekala p melawat kilang coklat Beryl’s jap. Harga murah sikit dr kat store. #fyp #coklat #berylschocolate #foodietiktok #fypdongggggggg

♬ suara asli - LYRICS - LYRICS

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. menariks...mcm2 tentang choc ni.. MA memang hantu choc jugak dulu.. now pun cuma dah slow down skt la since umur dah makin meningkat ni kannn

    BalasPadam
  2. Peminat coklat hadir! Nona paling suka dark choc berbanding yang lain..Choc Royce pun sedap, tak terlalu Manis...Teringin pulak Memalam baca pasal coklat ni...

    BalasPadam

Close Menu