Tauhu: Hasilkan tauhu dan pelbagai produk berasaskan soya dari 1 kg kacang soya

Tauhu mula popular sekitar tahun 2017 apabila munculnya pelbagai resepi viral berasaskan tauhu seperti tauhu bergedil, tauhu telur dan tauhu berlauk. Tauhu juga popular dalam masakan Korea, dikenali sebagai "dubu" yang kian mendapat tempat dalam masyarakat Malaysia iaitu soondubu jigae

Di luar negara tauhu juga popular dalam kalangan vegetarian sebagai pengganti daging. Istimewanya tauhu atau tofu ni, jom belajar dengan lebih lanjut. 

tauhu


Tauhu

Asal usul tauhu 

Tauhu dikenali sebagai "doufu" atau tofu/bean curd in English adalah makanan yang berasal dari China sejak dari Dinasti Han 2000 tahun yang lalu dan telah menjadi sebahagian penting dalam hidangan di Asia Tenggara. 

Jepun dan Korea sendiri mempunyai banyak hidangan berasaskan tauhu. Tidak ketinggalan negara jiran Indonesia yang sering menghidangkan tauhu bersama tempe yang tercipta di sana. 

Di Malaysia, tauhu turut dihasilkan secara komersial untuk memenuhi permintaan masyarakat berbilang bangsa yang menggemari juadah berasaskan tauhu.

Baca juga:

 

Tauhu pertama kali diperkenalkan ke Malaysia oleh pendatang Cina pada masa lalu. Ia adalah produk yang terhasil daripada kacang soya (Glycine max) yang diolah dengan kaedah tradisional. Kacang soya direndam, digiling menjadi susu soya, kemudian dicampur dengan bahan pembeku seperti magnesium chloride atau calcium sulfat. 

Pokok kacang soya.

Proses ini menyebabkan susu soya bergumpal (curd) dan menjadi hasil akhir yang dikenali sebagai tauhu. Proses pembuatan tauhu adalah sama seperti proses penghasilan keju.

Jenis-jenis tauhu 

Tauhu dapat dikategorikan mengikut tahap kepadatan isi tauhu iaitu lembut dan keras. Tauhu lembut turut dikenali sebagai silken tofu atau soft tofu dan tidak melalui proses ditekan untuk membuang cecair di dalamnya. Tekstur tauhu ini lembut dan halus sesuai untuk pencuci mulut, sup, stew dan masakan stim. 

Tauhu keras pula lebih sinonim dengan nama tauhu putih atau tauhu air yang kita jumpa di pasaran. Tekstur padat, stabil dan sedikit berongga kerana telah melalui proses ditekan. Tauhu ini sesuai untuk dipotong kecil, ditumis atau digoreng. 

Selain itu, beberapa jenis tauhu mempunyai bahan tambahan yang ditambah ke dalam air soya sewaktu proses penghasilan tauhu seperti telur atau udang. Ada beberapa produk tauhu telah digoreng seperti tauhu pok dan ditapai seperti tauhu busuk.  

tauhu


Bahan pembeku/coagulant tauhu

Proses menghasilkan tauhu memerlukan agen pembeku yang memberi tauhu tekstur tauhu yang bergumpal (curd) dan menjadi padat selepas ditekan. Ada beberapa bahan yang digunakan dalam proses pembuatan tauhu yang boleh didapati di kedai bakeri iaitu: 

Salt coagulant 
  • Gypsum (calcium sulfate)
  • Nigari salts (magnesium chloride and calcium chloride)
Acid coagulant 
  • Glucono delta-lactone (GDL)
  • Cuka makanan 
  • Jus lemon

Proses penghasilan tauhu 

Proses penghasilan tauhu menggunakan air soya turut menghasilkan produk sampingan seperti fucuk (tauhu kering) dan pencuci mulut taufufah yang juga dikenali sebagai silken tofu. Mari belajar asas pembuatan air soya terlebih dahulu. 

Proses merendam dan memasak air soya dengan lama adalah bagi memastikan kandungan antinutrient seperti phytates dan trypsin inhibitors yang sering menjadi penyebab kembung perut berkurangan. 

Cara buat air soya

Bahan-bahan:
1 kg kacang soya 
6 liter air 
Cara-caranya:



Ekstrak pati soya 
  • Basuh dan rendam kacang soya dalam air selama semalaman atau 5-6 jam. Rendam air 2x ganda daripada paras kacang soya untuk mudah mengembang. 
  • Sediakan pengisar dan kisar 1 cawan soya dengan nisbah 3 cawan air 
  • Sediakan kain muslin/cheesecloth di atas periuk baru untuk asingkan air soya daripada hampasnya 
  • Perah air soya semaksimum mungkin dari kain muslin 
  • Asingkan hampas dan boleh kisar lagi dengan sedikit air untuk dapatkan nutrient yang berbaki di dalam hampas
  • Ulang proses ini sehingga kacang soya habis 
  • Buang buih yang terhasil dari proses perahan 
Masak air soya 
  • Dengan api sederhana, masak air soya selama 30-45 minit sehingga mendidih 
  • Sentiasa kacau untuk elak air soya hangit di dasar periuk atau melimpah ke luar
  • Buang buih yang terhasil semasa proses memasak
  • Selepas masak, boleh asingkan air soya untuk diminum atau diproses untuk produk yang lain

Cara buat tauhu

Bahan-bahan:

6 liter air soya panas
15g GDL (Glucono delta-lactone)

Cara-cara:
  • Bancuh 15g GDL bersama sedikit air sehingga larut 
  • Tuangkan ke dalam air soya panas dan kacau hingga sebati 
  • Biarkan selama 15 minit hingga air soya menjadi bergumpal
  • Sediakan kain muslin dan bekas yang sesuai untuk mencetak tauhu
  • Gunakan penapis dan kaut gumpalan tauhu dan letakkan di dalam bekas yang beralas kain
  • Letak pemberat di atas bekas pencetak untuk keluarkan air sebanyak mungkin 
  • Selepas 1 jam, keluarkan tauhu
  • Rendam di dalam air bersih dan boleh simpan di dalam peti ais

Pelbagai jenis bekas tauhu yang murah di Shopee


Cara buat taufufah 

Bahan-bahan:

1 liter air soya panas (ditapis)
½ sudu teh GDL 
1 sudu makan tepung jagung
50 ml air

Cara-cara:
  • Bancuh GDL bersama tepung jagung dan air 
  • Tuang air soya panas serentak dengan bancuhan GDL ke dalam bekas kedap suhu
  • Biarkan selama 30 minit hingga air soya mengeras dan menjadi taufufah 
  • Buang sedikit permukaan taufufah yang berbuih 
  • Boleh hidang taufufah bersama air gula pilihan atau dimasak menjadi hidangan istimewa 

Cara buat tauhu telur 

Bahan-bahan:

5 biji telur
2 sudu tepung jagung 
150ml air soya

Cara-cara: 
  • Pukul sebati semua bahan di atas dan tapis ke dalam acuan kecil
  • Kukus tauhu telur selama 25 minit 
  • Tunggu sejuk sebelum dikeluarkan

Cara buat fucuk 

Bahan-bahan:

Air soya 
Lidi/Chopstick 

Baca juga: Sayur masak lemak 

Cara-cara:
  • Air soya boleh dipanaskan menggunakan kaedah double boiled atau letak di atas pengukus kerana kalau panaskan terus atas dapur ada risiko air soya menjadi hangit
  • Tunggu sehingga lapisan kuning terbentuk di atas permukaan air soya 
  • Gunakan pisau untuk leraikan lapisan fucuk dan ambil menggunakan lidi 
  • Gantung fucuk untuk proses pengeringan 
  • Ulang hingga air soya habis 
  • Bila dah cukup kering boleh simpan untuk dijadikan hidangan

Kebaikan tauhu kepada kesihatan

Nutrisi dan kalori tauhu 100g

Kalori: 144kcal
Protein: 17g
Karbohidrat: 3g
Fiber: 2g
Lemak: 9g

Vitamin dan mineral 
  • Calcium
  • Manganese
  • Copper
  • Selenium
  • Vitamin A
  • Phosphorus
  • Iron
  • Magnesium
  • Zinc

Tauhu adalah makanan yang kaya dengan nutrisi dan mempunyai banyak kebaikan untuk kesihatan. Berikut adalah beberapa manfaat tauhu kepada kesihatan 



Sumber protein 

Tauhu mengandungi protein berkualiti tinggi yang penting untuk pembentukan tisu badan, pertumbuhan, dan pembaikan sel-sel tubuh.

Rendah kalori dan lemak

Tauhu adalah makanan rendah kalori dan rendah lemak, menjadikannya pilihan yang baik untuk mereka yang menguruskan berat badan atau mengamalkan gaya hidup sihat.

Kandungan lemak yang baik dalam tauhu, terutamanya lemak tak tepu, boleh membantu mengurangkan risiko penyakit jantung dengan menurunkan kolesterol LDL ("kolesterol jahat").

Kandungan mineral dan vitamin 

Tauhu diperbuat daripada susu soya yang kaya dengan kalsium. Kalsium penting untuk kesihatan tulang dan gigi yang kukuh. Tauhu mengandungi zat besi, yang diperlukan untuk membantu pengangkutan oksigen dalam darah dan mencegah masalah keletihan dan kelemahan. 

Ia juga mengandungi serat makanan, yang membantu dalam penghadaman, mengurangkan sembelit dan menjaga kesihatan saluran pencernaan.

Kandungan antioksidan

Tauhu mengandungi antioksidan seperti isoflavon, yang dapat membantu melawan radikal bebas dalam tubuh dan memberikan perlindungan kepada sel-sel tubuh daripada kerosakan. 

Kandungan vitamin E dalam tauhu membantu melindungi kulit daripada kerosakan akibat radikal bebas dan menjaga keanjalan kulit.

Menyokong keseimbangan hormon

Kandungan isoflavon dalam tauhu dapat membantu menjaga keseimbangan hormon, terutamanya pada wanita semasa peringkat menopaus.

Resepi tauhu 

Tauhu telur ayam cincang 

Bahan-bahan:

1 pek tauhu telur
1 ketul dada ayam 
Lobak 
Bawang putih 
2 batang cili padi 
Cendawan tiram 
Serbuk lada hitam 
1 sudu besar sos tiram 
1 sudu besar kicap 
Bancuhan air tepung jagung

Cara-cara:
  • Potong tauhu telur dan masak dalam air fryer 200℃ selama 15 minit. 
  • Tumis bawang putih bersama cili dan masukkan lobak, ayam, cendawan. 
  • Masukkan sedikit air dan letak sos tiram, kicap, bancuhan air tepung jagung dan serbuk lada hitam 
  • Tuangkan kuah ayam di atas tauhu telur dan sedia dihidang. 

@diaryizzxh

menu diet: tauhu telur + ayam cincang ( 381 kcal ) Tinggi protein🔥 #resepidiet #bekaldiet

♬ original sound - Diaryizzxh - Diaryizzxh

Tauhu sumbat air fryer

Bahan-bahan:

Tauhu putih 
Lobak 
Timun 
Taugeh

3-4 batang lada merah 
2 biji cili padi 
1 biji bawang merah
3 ulas bawang putih 

Cara-cara:
  • Potong tauhu putih kepada 2 bahagian dan belah tengah lalu masak dalam air fryer 180℃ selama 15 minit dan terbalikkan bakar lagi selama 15 minit. 
  • Jika tauhu dalam keadaan basah, tekap dengan tisu sebelum bakar di dalam air fryer, boleh spray sedikit minyak jika mahu
  • Potong lobak dan timun secara memanjang dan taugeh. 
  • Sumbat sayur ke dalam tauhu mengikut selera 
  • Kisar semua bahan sambal cili dan reneh di dalam periuk, perasakan dengan gula dan garam. 

Tauhu berlauk 

Bahan-bahan:

Bahan kisar:
3 paket tauhu telur 
4 keping tauhu putih
2 keping dada ayam  
Telur 2 biji 

Kiub pati ayam/mushroom seasoning 
Serbuk lada hitam 
Serbuk lada sulah 

Bahan cincang halus:
Lobak
Daun sup
1 biji bawang merah 

Sambal kicap:
5-10 tangkai cili padi
5 ulas bawang putih
Kicap manis
Garam, gula secukupnya
1 sudu besar cuka/jus limau 

Cara-cara:
  • Kisar semua tauhu, ayam dan telur hingga lumat
  • Campur bahan cincang halus dan perasakan
  • Masukkan ke dalam bekas besar atau bekas kuih lompang dan kukus selama 15-20 minit
  • Keluarkan dari bekas dan golekkan di dalam bekas berisi telur yang telah dipukul lalu goreng hingga garing 
  • Jika mahupun cara yang lebih sihat, renjis sedikit minyak dan masak di dalam air fryer 180℃ selama 15 minit
  • Kisar semua bahan untuk sambal kicap dan reneh sekejap di atas dapur. 

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Banyak khasiat tauhu.
    Kalau makan di Indonesia mesti jumpa tauhu dan tempe.

    BalasPadam

Close Menu